Terengganu bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengikat Bali United 1-1 pada aksi kedua Piala AFC 2023/24 yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali sebentar tadi.

Keputusan seri yang dicatatkan itu menyaksikan Bali United dan Terengganu berkongsi empat mata tetapi pasukan dari Indonesia tersebut menghuni tangga teratas kerana memiliki kelebihan jaringan.

Manakala Central Coast Mariners yang menang 9-1 ketika bertemu Stallion Laguna petang tadi berada di kedudukan ketiga.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai aksi kedua-dua pasukan pada babak pertama dimana boleh dikatakan berlangsung agak hambar meskipun Terengganu memiliki dua percubaan tepat.

Tuan rumah yang kelihatan kurang bermaya pada babak pertama mula menguji gawang lawan sebaik sahaja aksi separuh masa kedua bermula.

Ia dibuktikan menerusi tandukan Mohammed Rashid yang tidak dikawal pertahanan Terengganu dalam kawasan penalti hanya melewati palang pada minit ke-49.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-54 selepas Privat Mbarga menyepak masuk bola ketika situasi sepakan penjuru untuk meletakkan Bali United dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Terengganu memperkemaskan aksi dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-84.

Gol penyamaan itu terhasil menerusi pemain gantian, Syahmi Zamri yang mudah menolak masuk bola hantaran Norhakim Hassan juga menerusi situasi sepakan penjuru.

Suhaimi Husin yang masih segar dengan berita mendapat panggilan sesi latihan skuad kebangsaan bertindak cemerlang dalam menafikan tiga percubaan dimiliki Bali United pada lewat permainan.

Anak buah Tomislav Steinbruckner juga terlepas peluang untuk mendapatkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan selepas percubaan Norhakim diselamatkan penjaga gol Bali United, Adilson Maringa.

Maringa turut bertindak cemerlang dalam menafikan rembatan padu dari luar kawasan penalti oleh Habib Haroon untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.